• Pengedar dadah kemalangan 
  •  Kereta Mitsubishi ini yang dinaiki dua lelaki disyaki pengedar dadah terlibat dalam kemalangan, semalam.
KOTA BHARU- Dua lelaki disyaki pengedar dadah ditahan, selepas terlibat dalam kemalangan di Batu 3, berhampiran stor kayu Jalan Kuala Krai-Kota Bharu, di sini, pagi semalam.

Dalam kemalangan itu kereta Mitsubishi Lancer yang menghala ke Kota Bharu dinaiki mereka hilang kawalan lalu melanggar tiang lampu sebelum merempuh lori yang diparkir di tepi bahu jalan.

Akibat kejadian itu, kereta terbabit berpusing beberapa kali sebelum merempuh lori berkenaan, bagaimanapun pemandu dan penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, kedua-duanya masing-masing berusia 31 dan 37 tahun, pernah ditahan berhubung kes dadah dan setakat ini mereka ditahan untuk siasatan lanjut di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB).

“Mereka kini disiasat disebabkan terdapat lima paket serbuk putih di dalam kereta yang disyaki dadah jenis syabu.

“Semasa tangkapan dilakukan, suspek cuba membuang dadah terbabit dari kereta berkenaan keluar tingkap, namun berjaya dikesan polis,” katanya ketika dihubungi semalam.

Azham berkata, setakat ini pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kes terbabit dan ketika ditahan kedua-duanya dalam pengaruh dadah jenis methamphetamine Sementara itu, pemandu lori terbabit, Mohd Zin Mohd Nawi 43, berkata, semasa kejadian kira-kira jam 9.15 pagi dia sedang membaiki pintu kedai yang rosak di bahagian belakang stor kayu majikannya.

“Saya dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat dan terus bergegas keluar. Saya melihat kereta Mitsubishi Lancer dengan dua pemuda berusia dalam lingkungan 30-an yang berada dalam kereta tapi tidak mengalami kecederaan.

“Apa yang lebih mengejutkan, di dalam kereta itu ada beberapa paket serbuk putih yang disyaki dadah. Anggota polis dengan kereta peronda tiba di tempat kejadian terus menahan dua lelaki itu untuk tindakan lanjut,” katanya.